Monday 28 March 2016

Matag: Kelapa Hibrid yang Popular




Kelapa matag ialah kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tagnanan.  Ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter.  Daun, bunga dan buahnya berwarna sama ada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa Rendah Malaya.  

Kelapa MATAG boleh mengeluarkan antara 25 hingga 30 ribu biji buah setahun. Berdasarkan harga pasaran RM2.00 sebiji maka dengan keluasan tanaman sehektar atau 2.5 ekar maka hasilnya ialah RM60000 setahun. Alangkah ruginya orang kampung yang membiarkan sahaja tanah mereka terbiar tanpa diusahakan dengan tanaman kelapa matag ini. 

Kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ketiga dan proses penuaian bolehlah dilakukan pada tahun keempat dengan kepadatan tanaman yang sesuai ialah 180 pokok sehektar dapat menghasilkan 161 biji sepokok dalam masa setahun.

Ciri-ciri istimewa kelapa matag ialah saiz buah yang besar dan isi yang sama tebal dengan kelapa varieti lain. Buah kelapa yang dituai popular untuk air kelapa muda, santan dan juga kopra. Walau bagaimanapun varieti kelapa yang lain yang tumbuh berhampiran dengan kebun kelapa jenis ini perlu ditebang untuk mendapatkan hasil kelapa matag yang tulen.

Sumber Rujukan:

http://usahawantani-kelantan.blogspot.my/2012/05/kelapa-mataq-tanaman-industri-lumayan.html


Tuesday 22 March 2016

Penawar Semulajadi Penyakit Darah Tinggi dan Kencing Manis iaitu Daun Bismillah



Pokok ini saya dapat semasa diadakan gotong-royong di kawasan perumahan Peramu Jaya 2 anjuran JPP Zon 17 dengan kerjasama pihak Majlis Daerah Pekan.

Daun pokok bismillah ini sangat berkhasiat untuk merawat penyakit darah tinggi dan kencing manis namun perlu diambil dalam kuantiti yang betul untuk mengelakkan sebarang kesan yang tidak baik kepada penggunanya. Jika kuantiti yang diambil  tidak tepat dikhuatiri tekanan darah dan kandungan gula dalam darah akan menjadi terlalu rendah atau tidak normal.

Maklumat lanjut tentang cara penggunaannya bolehlah layari laman web berikut :

http://www.khasiatherba.com/ulam/khasiat-daun-afrika-selatan-pokok-bismillah.html

http://fazlisyam.com/2010/01/17/tahukah-anda-nama-pokok-ini/




Wednesday 9 March 2016

Mulberi yang berkhasiat tinggi



Pokok mulberi atau nama latinnya morus ialah genus tumbuhan dari keluarga moraceae. Pokok ini berasal dari kawasan beriklim panas dan subtropika di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin. Namun begitu kebanyakan dari spesies asli Mulberi berasal dari benua Asia.


Terlalu banyak khasiat pokok mulberi ini seperti :

1.Buah mulberi dikatakan dapat memberi kebaikan kepada buah pinggang dan merawat masalah lemah, keletihan, anemia dan masalah rambut beruban.

2.Buah mulberi turut digunakan untuk merawat masalah tidak dapat mengawal mengawal keluarnya air kencing, pening,kembung, dan masalah sembelit.

3.Mengambil buah ini dalam diet kita dikatakan mampu memberi khasiat dan merangsang penghasilan cecair badan yang kurang melalui tanda-tanda seperti mulut mereka agak kering dan lidah terasa panas. 

4.Jus buah mulberi ini juga sesuai kepada mereka yang mempunyai masalah mata kering akibat keletihan mata dan akibat bekerja.

5.Wanita yang mengalami simptom-simptom seperti anemia, kepucatan, rasa , sukar untuk tidur dan jantung berdebar-debar dengan kerap terutamanya selepas melahirkan bayi, disarankan mengambil jus mulberi dengan kerap bagi mengurangkan masalah yang dinyatakan.

6.Daun mulberi pula dikatakan boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak. Daun yang telah kering pula boleh dijadikan teh untuk tujuan membersihkan tubuh badan, merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema. Daun yang telah dipanaskan pula dikatakan boleh disapu minyak dan dijadikan sebagai ubat tampal pada luka yang parah.

7.Daun yang telah dilumatkan mujarab dijadikan sebagai ubat tampal pada bekas gigitan atau sengatan serangga berbisa.

8.Akar pokok boleh direbus dan dijadikan sebagai air minum bagi merawat asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang.

9.Air rebusan kulit pokok mulberi pula dikatakan boleh diminum untuk merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronchitis, busung, menyingkirkan kahak dan hingus, tekanan darah tinggi, kebas tangan atau kaki.

Pembaca yang ingin mencuba khasiat buah, daun, kulit dan akar pokok mulberi perlu meminta nasihat daripada doktor atau pihak yang pakar untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.


Rujukan :

https://ms.wikipedia.org/wiki/Mulberi

https://suteraungu87.blogspot.com/2013/11/khasiat-buah-mulberry.html#ixzz42TRVOYHO

Tuesday 8 March 2016

Manfaat Limau Kasturi




Limau kasturi atau nama saintifiknya citrus microcarpa mempunyai pelbagai khasiat yang sudah diketahui oleh masyarakat. Di samping untuk menghasilkan minuman yang menyegarkan, limau kasturi mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan penjagaan diri kita. Berikut saya senaraikan kegunaan limau kasturi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita

1.Merawat sakit tekak.
Campur jus limau kasturi dengan madu lebah dan diminum.

2.Menghilangkan kesan kotoran yang degil.
Jus limau kasturi dicampur dengan garam dan disapu pada tempat terkena kotoran tadi selama kira-kira 10 minit kemudian dibilas dengan air bersih.

3.Mengatasi lelah.
Perahan limau kasturi dicampur dengan madu lebah dan diambil seminggu sekali.

4.Mengatasi bau badan yang kurang enak.
Amalkan makan kulit limau kasturi secara mentah untuk mengatasi masalah ini.

5.Melegakan pening kepala.
Kulit limau kasturi dimakan secara mentah berupaya mengatasi masalah pening kepala yang dialami. 
  

Cara membuat kordial limau kasturi dengan asam boi:

   Limau kasturi dipotong sedikit bahagian atasnya.
   Cucuk  asam boi pada bahagian limau kasturi yang telah dipotong.
   Guna air panas untuk membancuh air gula secukupnya.
   Masukkan limau kasturi yang telah dicucuk asam boi tadi ke dalam air gula.
   Sejukkan dahulu bancuhan tadi kemudian simpan di dalam peti sejuk dalam tempoh tiga atau empat hari.
   Ambil limau kasturi dan asam boi tadi berserta airnya dan bancuhlah di dalam bekas minuman.

Selamat mencuba.


Rujukan :

http://petuasejagat.blogspot.my/2010/01/5-khasiat-limau-kasturi.html



Thursday 3 March 2016

Khasiat Daun Kemangi untuk Kesihatan


Pokok kemangi sangat mudah ditanam. Kita hanya perlukan keratan batang pokok tersebut dan cucukkannya sahaja ke tanah. Pokok ini mempunyai khasiat yang sangat banyak kepada manusia jika dijadikan diet harian. Berikut beberapa manfaat daun kemangi bagi kesihatan lelaki dan wanita.
1. Meredakan demam & masuk angin
Daun kemangi mampu meredakan demam dan masuk angin yang diderita oleh kanak-kanak umur bawah lima tahun ( children under five ). Kaedahnya adalah dengan mengambil beberapa daun kemangi, kemudian dilumatkan dengan bawang merah 
dan minyak kelapa, lalu dilumurkan ke perut, dada, dan punggung kanak-kanak tersebut.

2. Menyihatkan mata dan mulut
Vitamin A dalam daun kemangi memiliki kemampuan untuk mengubati infeksi mata, meredakan mata yang stres, dan mencegah gangguan pada mata lainnya. Bukan itu sahaja, selain daun mint, kemangi juga berupaya menyegarkan bau mulut jika dimakan di samping dapat mencegah bau badan dan bau mulut. Kebanyakan daripada kita memanfaatkan daun ini sebagai ulam ketika makan nasi atau dicecah dengan sambal.

4. Anti inflamasi
Kemangi merupakan agen anti inflamasi yang bertugas menyembuhkan bengkak dan berkesan meredakan radang sendi. Kemangi juga termasuk sumber kalsium yang baik yang diperlukan tulang untuk mencegah osteoporosis.

5. Menopouse
Kemangi dapat menunda menopouse disebabkan kandungan triptofan pada daun kemangi dapat menunda monopause. Oleh sebab itu, perbanyakkanlah mengambil daun ini dalam diet harian anda khususnya kaum wanita  jika anda ingin menunda masa menopouse.

6. Mencegah batuk
Di Thailand, kemangi digunakan sebagai perencah masakan. Di India dan sebagian wilayah di Afrika, daun kemangi direndam dengan air panas untuk dijadikan minuman the. Teh kemangi dihidangkan pada saat perubahan musim kerana ketika ini mereka mudah diserang batuk, selesema, atau demam.

7. Mengatasi Keputihan
Kandungan kimia dalam kemangi dapat membunuh kulat penyebab keputihan. Oleh itu ketika anda mengalami keputihan, rajin-rajinlah mengambil daun kemangi sama ada sebagai ulaman atau dicampur dengan makanan lain.

8. Merangsang Sel Telur
Daun kemangi dapat membantu proses pematangan sel telur (ovulasi) kerana kandungan  stigmaasterol dalam kemangi merangsang pematangan sel telur (ovulasi).

9. Antiradang
Kandungan cineole, myrcene dan eugenol yang terdapat pada daun kemangi berfungsi sebagai antibiotik semulajadi dan antiperadangan.

10. Kesihatan Jantung
Berdasarkan beberapa penelitian, daun kemangi berfungsi dalam memelihara kesihatan jantung kerana kandungan betakaroten dan magnesium. Kedua-duanya merupakan mineral penting yang berfungsi menjaga dan memelihara kesihatan jantung.

11. Mengatasi Stroke
Meningkatkan fungsi pembuluh darah nadi (artery) pada pesakit stroke kerana kandungan isoflavon pada kemangi dapat meningkatkan fungsi pembuluh darah nadi (artery) kepada pengidap stroke.

12.Mengubati Panau
Panau juga dapat disembuhkan dengan cara menghaluskan daun kemangi yang harus dicuci bersih, campurkan dengan sedikit kapur sirih dan sapukan pada bahagian badan yang terkena panau tersebut.

13. Manfaat Yang Lainnya
Para perokok disarankan mengunyah daun kemangi apabila teringin hendak merokok. Dengan begitu, kekuatan antioksidan mampu memperbaiki sistem yang rosak akibat daripada nikotin. Kemangi juga sangat berkesan dalam meredakan stres, mencegah diabetes, dan mengatasi masalah kidney stone.


Rujukan :



Wednesday 2 March 2016

Teknik Meningkatkan Hasil Jambu Madu






Serangan lalat buah dan hujan lebat telah menyebabkan buah jambu madu yang masak ranum sangat  sedikit dapat dipetik pada kali ini. Daun-daun pokok jambu madu juga telah diserang oleh ulat beluncas. Sudah pasti kerja-kerja pemangkasan kali ini agak memenatkan.  
Pertumbuhan pokok jambu madu yang sihat sangat memerlukan pembajaan dari peringkat anak benih lagi. Pokok dewasa mesti mendapat pembajaan tiga bulan sekali atau paling tidak dua kali dalam satu tahun. Baja perlu ditabur di sekeliling pokok dengan radius satu meter dengan kuantiti yang sesuai. Pembajaan perlu dilakukan dua kali seminggu jika buah sedang berbuah. Baja NPK dan organik banyak terdapat di pasaran untuk menyuburkan pokok jambu madu ini.

Hasil yang terbaik dapat diperoleh jika dilakukan pemangkasan yang betul terhadap pokok ini. Pemangkasan ranting dan dahan perlu dilakukan untuk pembentukan kanopi yang sempurna kerana banyaknya ranting dan dahan sangat mempengaruhi jumlah buah yang akan terhasil.  Bahagian pokok yang perlu dipangkas ialah bahagian yang terkena penyakit, sudah tua, terlindung cahaya matahari dan ranting yang tumbuh ke arah dalam pokok. Untuk mengelakkan pokok daripada stres , jumlah daun yang dibuang mestilah tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah daun pada pokok tersebut.


Rujukan :


Tuesday 1 March 2016

Penjagaan Nangka Madu

Nama saintifik bagi pokok nangka ialah artocarpus heterophylus daripada keluarga moraceae.Nangka berkemungkinan berasal dari India. Tanaman ini juga terdapat di Indonesia, Thailand dan Filipina. Di negara kita nangka banyak ditanam di Johor, Pahang, Kedah, dan Terengganu.

Buah ini sangat diminati kerana enak dimakan begitu sahaja atau dibuat jus minuman, kordial, kari dan sebagai pencuci mulut.


Poko perlu dicantas  untuk menghasilkan kecergasan pokok , untuk mendapatkan bentuk kanopi yang sesuai dan merangsang pengeluaran buah. Cantasan melibatkan pembuangan dahan yang mati, berpenyakit dan membuang sulur air. Cantasan dahan yang tidak diperlukan memberi laluan udara dan sinaran matahari yang diperlukan. Putik  perlu dibiarkan satu sahaja setangkai  untuk menghasilkan buah yang sihat, berbentuk normal dan seragam.


Pokok nangka memerlukan pengairan untuk menggalakkan pertumbuhan yang sihat dan untuk mengelakkan tekanan kekurangan air semasa musim kemarau

Kita perlu melihat melihat perubahan sifat luar buah untuk menganggarkan peringkat kematangan buah nangka. Duri nangka kelihatan tajam dan rapat antara satu sama lain pada peringkat muda. Buah yang sudah matang, durinya semakin tumpul dan menjarak antara satu sama lain. Kematangan buah juga dapat dikesan apabila tangkai yang kelihatan mengecut dan bahagian absis pada tangkal buah membengkak. Buah yang masak juga apabila buah dijentik atau diketuk, mengeluarkan bunyi kosong (tidak padat) selain dapat dikesan melalui baunya.


Rujukan :